Wednesday, April 22, 2015

KAKI TEMPURUNG

Permainan Lumba Kaki Tempurung merupakan sejenis permainan berbentuk perlumbaan. Apa yang istimewanya, perlumbaan ini menggunakan tempurung kelapa sebagai alas kaki. Penggunaan tempurung kelapa dalam permaianan ini bertujuan untuk memberi halangan dan cabaran kepada pemain. Tempurung yang digunakan dalam permainan ini ialah tempurung jantan. Ia mudah dikenali kerana mempunyai tiga mata di atasnya. Salah satu daripada lubang tersebut mempunyai bahagian nipis yang mudah untuk ditebuk. Melalui lubang inilah mata tunas akan keluar apabila sebiji kepala disemai. Tempurung yang boleh digunakan ialah tempurung yang telah diparut isinya. Dengan menggunakan sebahagian (sebelah jantan) sebiji kelapa yang telah dibelah dua, ia dijadikan sebagai salah satu alat untuk Permainan Lumba Kaki Tempurung.

TEMPAT

Dimainkan di suatu kawasan yang lapang, misalnya di padang. Dua garisan (garisan penamat dan garisan permulaan) dibina secara bertentangan. Jarak kedua garisan tidak ditetapkan. Ia bergantung kepada pemain, contohnya 20 meter.

PERALATAN

  1. Tempurung kelapa (setiap pemain harus memiliki dua belah tempurung kelapa jantan).
  2. Seutas tali (sekurang-kurangnya dua meter panjang atau mengikuti tinggi pemain).
  3. Dua bilah ranting kayu sepanjang satu inci setengah.(Foto 1 & 2)

CARA MEMBUAT ALATAN

Kedua-dua tempurung hendaklah ditebuk lubangnya. Kemudian tali dimasukkan melalui lubang berkenaan. Seterusnya keratan kayu akan diikat pada kedua-dua hujung tali berkenaan.

LANGKAH-LANGKAH PERMAINAN

  1. Salah seorang daripada pemain-pemain akan dipilih sebagai pengadil. Pengadil bertanggungjawab menentukan pemenang perlumbaan ini.
  2. Sebelum perlumbaan, semua pemain akan bersedia di tempat garisan permulaan. Kaki pemain diletakkan di atas tempurung. Ibu jari kaki pemain hendaklah menyepit tali berkenaan. Sementara itu tangan pemain memegang tali yang disambung pada tempurung tadi. Tempurung dijadikan sebagai alas kaki setiap pemain.
  3. Sebaik sahaja pengadil memulakan perlumbaan, semua pemain akan berlumba-lumba untuk tiba dahulu ke garisan penamat. Mana-mana pemain yang tiba dahulu ke garisan penamat akan diisytiharkan sebagai pemenang. (Foto 5 & 6)
  4. Permainan boleh diulang semula atas persetujuan pemain-pemain.

PERATURAN PERMAINAN

  1. Setiap pemain mestilah menggunakan tempurung kelapa ketika berlumba. Pemain tidak boleh menanggalkannya ketika berlumba.
  2. Pemain mesti menamatkan perlumbaan mengikut jarak yang telah ditetapkan. Pemain yang tidak berjaya menamatkannya dikira kalah.
  3. Keputusan yang dibuat oleh pengadil adalah muktamad.
  4. Pemain tidak boleh bergerak tanpa arahan daripada pengadil.
  5. Mana-mana pemain tidak boleh mengganggu antara satu sama lain.

CARA MENENTUKAN KEMENANGAN

Pemenang ditentukan kepada pemain yang terlebih dahulu melepasi gaisan penamat.Pemain berkenaan juga hendaklah tidak melanggar peraturan perlumbaan.

1 comment: